Sunday 16 February 2014

Satu Lagi Pilihanraya Kecil Bakal Diadakan?


Adun Bukit Naning wajib meletakkan jawatan kerana keterlibatan beliau di dalam politik wang pada pemilihan parti November tahun lepas.

Demikian ditegaskan Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng yang merujuk laporan berita 10 Februari lalu mengenai Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib yang juga Adun Bukit Naning digantung keanggotaannya kerana terlibat dalam politik wang pada pemilihan parti.

“PKR Johor memandang isu ini dengan amat serius,” ujarnya dalam satu kenyataan. Sehubungan itu, katanya anggota-anggota PKR Johor telah diarah untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak SPRM perlu menyiasat kes ini dengan teliti dan secepat mungkin.

Pada masa yang sama, tegas Chua Adun Bukit Naning wajib meletak jawatan kerana keterlibatan di dalam politik wang yang merupakan satu bentuk rasuah sewaktu pihak SPRM menjalankan siasatan terhadapnya.

“Politik wang yang cukup kronik dalam Umno tidak akan sekali-kali dibenarkan merebak dalam PKR,” katanya. 

Jelasnya, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang dipengerusikan oleh Datuk Johari Abdul telahpun menggariskan panduan jelas demi memastikan budaya jelek itu tidak akan dipraktikkan dalam pemilihan parti yang akan diadakan tahun ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor, Mohd Jais Sarday pada 10 Feb lalu mengesahkan Saipolbahri digantung keanggotaannya oleh ibu pejabat Umno kerana terlibat dalam politik wang pada pemilihan parti November tahun lepas.

Saipolbahri bersama empat pemimpin Umno Bahagian Bakri digantung keanggotaan mereka selama dua penggal oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin Umno.

Adun Bukit Naning itu yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan berjaya mengekalkan jawatan ketua bahagian selepas menewaskan pencabarnya, Allahyarham Datuk Mazlan Sabari dan Lokman Mohd Dom pada pemilihan lepas. ~hrkh

No comments:

Post a Comment